fbpx
Gambar hiasan

Inisiatif peremajaan tingkatkan tahap simpanan, sedia perkhidmatan moden – TH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan inisiatif peremajaan jenama sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukannya sebagai institusi tabungan pilihan umat Islam di Malaysia.

Ini kerana kata, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad kadar simpanan yang rendah turut memberi kesan apabila kira-kira separuh daripada pendeposit yang menerima tawaran haji setiap tahun terpaksa menolak atau menunda giliran haji mereka walaupun bantuan kewangan haji diberikan.

“Kebanyakan pendeposit yang berkemampuan pula cenderung untuk menyimpan di institusi kewangan lain dan hanya memindahkan bayaran penuh haji ke akaun TH mereka apabila rayuan diterima untuk mengisi kekosongan akibat penolakan tawaran haji oleh pendeposit yang tidak mampu.

“Berdasarkan data dan tren yang membimbangkan ini, TH mengambil langkah proaktif melaksanakan inisiatif peremajaan jenama bagi memastikan TH kekal relevan khususnya dalam usaha menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji.

“Ia juga bertujuan meningkatkan tahap simpanan individu, memperkukuh budaya kerja serta menyediakan perkhidmatan digital moden yang menepati keperluan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, TH kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten, khususnya apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan yang lebih menarik seperti unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan Skim Persaraan Swasta (PRS).

“Statistik semasa menunjukkan jumlah pendeposit TH kini berjumlah 9.6 juta orang. Angka ini menunjukkan bahawa masih terdapat 50 peratus daripada populasi Islam di Malaysia yang belum membuka akaun dengan TH.

“Lebih membimbangkan, data turut menunjukkan bahawa 53 peratus daripada pendeposit tidak memiliki simpanan sekurang-kurangnya RM1,300, iaitu jumlah minimum yang diperlukan untuk daftar haji,” jelasnya.

Terdahulu, TH memaklumkan bahawa inisiatif itu juga merupakan langkah strategik untuk memperkukuh peranan TH sebagai institusi tabungan Islam yang relevan dengan keperluan semasa, seterusnya memastikan umat Islam di Malaysia dapat menunaikan haji dengan lebih terancang dan terjamin.

Ia juga dilaksanakan mengikut polisi dan garis panduan yang ketat dan dipantau oleh Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Penasihat Shariah.

Semua dasar, operasi dan hal ehwal ibadat haji dikawal sepenuhnya oleh pengurusan TH, Ahli Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Penasihat Shariah dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI