KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kajian keberkesanan kos pelepasan nyamuk Aedes aegypti berwolbachia dijangka akan selesai pada Mac 2026.
Timbalan Menterinya Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, setakat ini 60 lokaliti terlibat dalam program berkenaan, meliputi 15 kawasan kajian dan 45 lokaliti pengoperasian sejak ia dimulakan pada 2019.
“Data analisis menunjukkan intervensi ini berjaya mengurangkan insiden denggi antara 60 hingga 80 peratus.
“Malah, 20 lokaliti yang tamat pelepasan dua tahun menunjukkan pengurangan kes sehingga 100 peratus,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dr. Lingeshwaran berkaitan analisis keberkesanan kos dan impak jangka panjang nyamuk berwolbachia berbanding kawalan vektor denggi serta vaksinasi menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).
Mengulas cadangan penggunaan vaksin denggi Qdenga, jelas Lukanisman, pihak kerajaan masih menilai tahap kos-efektifnya.
“Di pasaran antarabangsa, Qdenga berharga sekitar lima hingga 10 dolar Amerika, manakala di klinik swasta Malaysia mencecah RM400 hingga RM450. Kos ini masih tinggi dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menyarankan penggunaannya hanya di negara yang mempunyai kadar seroprevalens melebihi 60 peratus pada usia sembilan tahun. Malaysia belum mencapai tahap itu,” katanya.
Menurut beliau, seekor nyamuk berwolbachia menelan kos sekitar 35 sen, namun terbukti mampu menurunkan jangkitan denggi.
Kerajaan juga terbuka untuk menjalin kerjasama dengan sektor swasta termasuk melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menampung kos pelaksanaan di seluruh negara.- KOSMO! ONLINE.