fbpx
Tarmizi dan Ruby ditemui media pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen Ihsan Madani Tahun 2025 di Penjara Kajang, hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

‘Ada bekas banduan dah jadi penolong pengurus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dilaksanakan Jabatan Penjara membuahkan hasil apabila ramai bekas prospek diterima baik oleh masyarakat, malah mampu meneruskan kehidupan dengan mendapatkan pekerjaan tetap.

Pengurus Sumber Manusia McDonald’s Malaysia, Tarmizi Saleh berkata, pihaknya antara majikan dari seluruh negara yang menawarkan peluang pekerjaan kepada prospek dengan sehingga kini seramai 400 orang telah diambil bekerja di rangkaian restoran tersebut.

“Kita ada kenaikan pangkat dan mereka ini dari pekerja biasa. Selepas habis parol, ada yang sambung kerja dengan kita.

“Setakat ini daripada 100 orang yang dah bebas (habiskan parol), 50 peratus sambung (kerja) dengan kita. Salah satu (prospek dinaikkan pangkat) penolong pengurus di rangkaian Bandar Putra Puchong selepas bekerja setahun dengan kita,” katanya.

Beliau berkata kepada media ketika ditemui Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen Ihsan Madani Tahun 2025 di Penjara Kajang di sini hari ini.

Seramai 77 prospek terdiri daripada 72 lelaki dan lima wanita dibebaskan menerusi PBSL dengan majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Komisioner Jeneral Penjara Pemasyarakatan, Ahmad Fauzi Awang.

Tarmizi berkata, prospek terlibat juga menunjukkan prestasi kerja yang baik dari segi disiplin, kehadiran selain mengikuti prosedur operasi standard serta keselamatan ditetapkan syarikat.

Majikan, Ruby Yong yang juga pengurus sebuah pusat urutan refleksologi berkata, sebelum ini dia telah mengambil lima prospek bekerja dengannya dan kali ini, seramai lima lagi prospek diambil bekerja.

“Kita akan beri latihan kepada mereka mengenai urutan selain bagaimana melayan pelanggan. Ikut pengalaman sebelum ini, mereka sangat bagus, tak hampakan kita sebagai majikan.

“Masyarakat kena beri peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan. Mereka bukannya tidak bagus, kita kena layan mereka macam satu keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI