PETALING JAYA – Keakraban masyarakat Terengganu terhadap tetamu sekali lagi terserlah apabila sekumpulan peserta himpunan RXZ Members 7.0 menerima jemputan mengejut daripada seorang penduduk tempatan untuk singgah makan di rumahnya baru-baru ini.
Kejadian itu berlaku ketika kumpulan konvoi tersebut melalui sebuah kampung di Kuala Terengganu untuk mencari kedai makan.
Namun, secara tiba-tiba mereka disapa seorang lelaki sekitar 50-an yang menunggu di tepi jalan sebelum dijemput ke rumah bagi menjamu selera.
Menerusi perkongsian video di TikTok @heryykeryy, dia memaklumkan kumpulannya adalah yang pertama menyinggah makan di rumah pak cik tersebut.
“Masa ini ada pak cik tahan nak jemput makan dekat rumah dia. Pak cik ni siap cakap lagi susah nak tahan orang untuk jemput makan. Geng kami yang pertama makan dekat rumah pak cik itu. Masa ini sedang cari kedai makan, tapi kebanyakan penuh.
“Alhamdulillah, terima kasih pak cik jemput datang rumah. Kami pun nak minta maaf dengan bunyi ekzos motor bising-bising masuk kawasan kampung. Ada rezeki kita jumpa tahun depan ya,” kata @heryykeryy.
Perkongsian tentang kejadian itu tular di media sosial apabila beberapa peserta RXZ Members 7.0 yang lain turut berkongsi pengalaman masing-masing selepas mendapat layanan sangat istimewa daripada masyarakat Terengganu.
“Orang terengganu memang baik weh. Ada ofang datang ‘homestay’ kami ajak pergi makan dekat kedai dia, siap nak masakkan untuk makan tengah hari. Kami yang malu dan tak nak susahkan dia. Dia bahasakan diri dia ‘mok’,” kongsi @Mr AjieS.
“Sepanjang jalan lalu kawasan kampung, ada sahaja orang kampung menjerit suruh berhenti ambil makanan, minuman sedekah. Memang jimat duit kami bila pergi sana. Sayang orang Terengganu,” kata @ZuuniDuaRoda.
“Rakyat Terengganu, aku doakan semua dimurahkan rezeki selalu…negeri yang pemurah, ini bukan kisah program RXZ Members, tapu kisah kasih sayang yang tersirat,” kata @Pemburu@RINGGIT. – KOSMO! ONLINE
@heryykeryy masa ni otw cari kedai makan tapi kebanyakkan penuh. alhamdulilah terima kasih pakcik jemput dtg rumah. 🤲 #culasracing #rxz #rxz_members_official ♬ BUDAK KACA MATA bintang – ꧁ 𝑹.𝒌𝒂𝒚_𝑶𝒇𝒇𝒊𝒄𝒊𝒂𝒍 ꧂