fbpx
Aliff Syukri (tengah) bersama peguamnya selepas prosiding kes.

Tiga tahun saya tertekan, tidak boleh tidur malam – Aliff Syukri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman memberitahu sejak dituduh dan dibicarakan, hidupnya tertekan apabila terpaksa ‘turun naik’ mahkamah selama tiga tahun.

Aliff Syukri, 38, berkata, beliau sama sekali tidak menjangkakan keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskannya atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang Kelepok Raya, tiga tahun lalu.

“Selama hampir tiga tahun, saya ‘berlawan’ dalam kes ini dan ia bukanlah satu perkara yang mudah. Sejujurnya, saya tidak sangka boleh menang hari ini, namun akhirnya kes ini berpihak kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada pihak mahkamah serta barisan peguam mewakilinya atas bantuan sepanjang prosiding kes berkenaan yang berlangsung sejak 2022.

“Selepas ini, saya akan keluarkan lagu baharu tetapi ia akan menjadi versi yang lebih baik serta memberi contoh terbaik,” katanya.

Terdahulu Aliff Syukri dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang kelepok raya tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman memutuskan demikian selepas meneliti hujahan tambahan yang dikemukakan pihak pembelaan dan hujahan balas daripada pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Aliff Syukri didakwa atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini satu muzik video lagu raya berdurasi 5 minit 23 saat pada 2022 menjadi kontroversi apabila memaparkan aksi keterlaluan beberapa orang penari lelaki lembut yang disifatkan mencemari sambutan perayaan Aidilfitri serta mempunyai elemen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Sepanjang prosiding, Aliff Syukri diwakili peguam-peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, Hasshahari Johari Mawi dam Mohd. Radzlan Jalaludin manakala pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI