PETALING JAYA – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berangkat pulang ke Brunei pada pukul 3 petang tadi selepas menamatkan Lawatan Negara selama tiga hari di Malaysia bermula Isnin lepas.
Pesawat khas yang membawa Baginda dan delegasi berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan diiringi Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil turut mengiringi keberangkatan pulang Baginda.
Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya bersempena Mesyuarat Konsultasi Tahunan Pemimpin ke-26 (ALC26). – KOSMO! ONLINE