NEW DELHI – Seorang pelajar asrama di India mengalami kesan lecur yang teruk selepas dua rakan sekelasnya menekap seterika pada perut dan tangan mangsa, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Kejadian berlaku di sebuah sekolah swasta di Konaseema, negeri Andhra Pradesh pada 16 Ogos lalu.
Perbuatan itu terbongkar apabila ketiga-tiga pelajar dipanggil oleh warden selepas menyedari bahawa kamera pengawasan di dalam asrama hilang.
Polis tempatan berkata, dua pelajar terbabit didakwa mengambil kamera tersebut lalu disembunyikan di dalam beg sekolah mangsa.
Semasa disoal oleh warden, mangsa mendedahkan bahawa perut dan tangannya ditekap menggunakan seterika di dalam bilik mereka.
“Kakitangan asrama tidak mengendahkan kecederaan yang dialami mangsa. Kesan lecur itu diketahui oleh ibu mangsa selepas melawatnya di asrama,” kata polis.
Wanita itu segera membawa anaknya ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan. – AGENSI