KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan dan Hutan Simpan Kekal (HSK) termasuk aktiviti penanaman durian haram di daerah Raub.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Ops Sekat yang dilaksanakan sejak April tahun lalu kini memasuki Fasa 4 bermula 21 Julai lalu, dengan kawalan lebih ketat di kawasan dikenal pasti.
“Sehingga kini, lebih 10,000 hektar kawasan durian haram disekat laluan keluar masuk, manakala 104 hektar tanaman di HSK Gunung Benom telah ditebang.
“Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang. Tindakan tegas akan diteruskan sehingga kegiatan ini dihapuskan sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil operasi ini turut menyaksikan 45 individu ditahan membabitkan 20 kes kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara, Akta Perhutanan Negara, Akta Imigresen dan Akta Senjata.-KOSMO! ONLINE