fbpx
Wisma DRB-HICOM, Shah Alam.

DRB-HICOM umum untung pra-cukai RM123 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – DRB-HICOM Berhad mengumumkan keuntungan pra-cukai (PBT) sebanyak RM123.19 juta bagi suku kedua tahun 2025, disokong hasil sebanyak RM4.14 bilion.

Ini merupakan peningkatan ketara berbanding suku sama berakhir 30 Jun 2024, di mana Kumpulan mencatatkan PBT sebanyak RM25.93 juta dan hasil sebanyak RM3.76 bilion.

Keputusan lebih kukuh pada suku kedua 2025 didorong terutamanya keuntungan lebih tinggi dalam sektor Perbankan, disokong oleh peningkatan pendapatan pembiayaan dan pelaburan, serta pengurangan elaun kemerosotan disebabkan oleh pemulihan yang bertambah baik.

Selain itu, sumbangan yang memberangsangkan daripada sektor Automotif, Pos, Hartanah, dan Perkhidmatan turut mengukuhkan prestasi keseluruhan.

Menurut DRB-HICOM dalam kenyataan hari ini, bagi separuh pertama tahun 2025, Kumpulan mencatatkan PBT sebanyak RM215.81 juta dan hasil sebanyak RM8.25 bilion, berbanding PBT RM236.70 juta dan hasil RM8.09 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, sumbangan yang lebih kukuh daripada sektor Perbankan dan Perkhidmatan telah mengimbangi prestasi lebih perlahan dalam sektor-sektor lain, sekali gus menyokong kestabilan prestasi keseluruhan.

“Perniagaan-perniagaan lain dalam Kumpulan akan terus fokus untuk membina daya tahan melalui usaha pengurusan risiko dan kemampanan yang lebih mantap.

“Transformasi digital sedang giat dilaksanakan dalam segmen Perbankan dan Pos, manakala sektor-sektor lain, iaitu Aeroangkasa dan Pertahanan, Perkhidmatan, serta Hartanah kekal komited untuk mengukuhkan keupayaan perniagaan bagi pertumbuhan jangka panjang.

“Kumpulan menjangkakan prospek yang sederhana bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI