LONDON – Polis Bradford di Britain sedang memburu empat lelaki yang menyamar sebagai anggotanya ketika menyamun sebuah kedai emas, lapor portal berita MailOnline.
Kejadian berlaku sekitar pukul 11.18 pagi (waktu tempatan) di Chacha Jewellers di bandar Bradford pada 23 Ogos lalu.
Seorang suspek dilihat mengenakan jaket hijau dengan tulisan ‘POLICE’ pada bahagian belakang, manakala seorang lagi memakai baju-T hitam yang memiliki logo polis.
Dua lagi suspek hanya memakai kemeja berwarna putih.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan kumpulan itu masuk ke dalam kedai sebelum mengarahkan dua kakitangan keluar ke hadapan untuk ‘ditahan’.
Seorang kakitangan digari, manakala seorang lagi melarikan diri sebelum kesemua suspek melarikan sejumlah barang kemas.
Detektif Inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Bradford, Dennise Bell berkata: “Kami sedang menjalankan siasatan berhubung rompakan ini.” – AGENSI