PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat ke istiadat sambutan negara sempena keberangkatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Negara, hari ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, lawatan negara Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia ini merupakan yang ketiga selepas kunjungan Presiden Republik Rakyat China dan Presiden Republik Indonesia sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Menurutnya, istiadat sambutan negara yang berlangsung di Anjung Utama Istana Negara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Brunei dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, disusuli tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.
“Baginda Sultan Hassanal Bolkiah kemudiannya berkenan mengadakan kunjungan menghadap Sultan Ibrahim sebelum menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan di Dewan Seri Maharaja.
“Yang di-Pertuan Agong turut berkenan meraikan keberangkatan Paduka Seri Baginda Sultan Brunei serta delegasi negara itu dalam satu Majlis Jamuan Negara di Dewan Santapan Utama,” katanya hari ini.
Turut berangkat sama, Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor serta Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Komunikasi merangkap Menteri Pengiring Lawatan Negara Brunei, Ahmad Fahmi Fadzil serta barisan Menteri Kabinet. – KOSMO! ONLINE