GOMBAK – Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas apabila terjatuh dari koridor tingkat tujuh sebuah pangsapuri sebelum tersangkut di koridor luar tingkat enam, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian melibatkan kanak-kanak berusia 10 tahun itu pada pukul 12.16 tengah hari.
Katanya, seramai lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang bergegas ke lokasi dan tiba lima minit kemudian.
“Mangsa mengalami kecederan dibahagian kaki dan berjaya diselamatkan oleh anggota bomba.
“Mangsa diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi dikawal sepenuhnya sebaik mangsa dibawa turun dengan selamat. – KOSMO! ONLINE