KUALA LUMPUR – Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri getah global apabila Pameran dan Persidangan Industri Getah Antarabangsa (IRICE) 2025 membuka tirainya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Pengerusi penganjur IRICE 2025, Loh Yoon Hon berkata, penganjuran itu menjadi wadah penting dalam memperkukuh jaringan ekosistem industri getah di peringkat serantau.
“IRICE menghimpunkan pengeluar, penyelidik, pembeli dan penggubal dasar dalam satu platform sekali gus membuka peluang baharu untuk pertumbuhan industri di Malaysia dan Asia,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Acara berprestij anjuran Persatuan Pekilang-Pekilang Produk Getah Malaysia (MRPMA) dengan kerjasama Majlis Getah Malaysia (MRC) itu menghimpunkan 86 syarikat pempamer dari enam negara termasuk China, Jerman, Jepun, Taiwan dan Thailand.
Ia dijangka menarik lebih 3,000 pembeli perdagangan serta 200 peserta persidangan sepanjang tiga hari penganjuran.
Presiden MRPMA, Yeaw Kok Kwey berkata, Malaysia bukan sahaja sinonim dengan sarung tangan lateks, malah turut menonjol dalam pengeluaran produk getah kering seperti tayar, komponen automotif, kasut, barangan industri, hiasan dan peranti perubatan.
“IRICE 2025 membuktikan Malaysia bukan sekadar pengeluar, tetapi juga inovator produk getah bernilai tinggi, lestari dan berdaya saing,” katanya.
Eksport getah kering negara turut mencatatkan prestasi positif pada separuh pertama tahun ini dengan nilai RM2.89 bilion, meningkat 18.5 peratus dalam kategori barangan getah industri. – KOSMO! ONLINE