PETALING JAYA – Penyanyi rap, Alfie Zumi, 31, mencuri perhatian ramai selepas dia mendedahkan mengalami kejadian pelik apabila boxer (pakaian dalam) dipenuhi darah seakan-akan darah haid.
Menerusi perkongsian Alfie dalam Threads, Alfie ternyata bingung dengan kejadian terbabit dan meminta pandangan netizen.
“Terjumpa boxer aku penuh dengan darah banyak macam darah haid. Mana datang pula darah dari punggung aku kan,” tulisnya.
Tertanya-tanya dengan apa sebenarnya yang berlaku, Alfie yang popular menerusi lagu Jom Raya duet bersama Daiyan Trisha itu terus bertanya kepada aplikasi ChatGPT.
Hasilnya mendapati dia mungkin terkena ilmu pengasih yang menggunakan darah haid yang disapu pada makanan atau pakaian dengan tujuan membuat orang jatuh cinta atau taksub.
Ada netizen yang memberi pandangan mungkin dia terkena buasir, namun kata Alfie, dia tidak mengalami sebarang simptom dan sentiasa membuang air besar dengan selesa.
Dalam pada itu, Alfie turut meluahkan kekesalan apabila ada segelintir pihak yang mempersendakan tindakannya berkongsi tentang situasi yang berlaku padanya.
“Aku ingat ada ramai orang gila di luar sana tetapi rupanya lebih ramai orang bodoh. Kalau aku nak perhatian, kenapa aku tak buat hantaran di bahagian ‘feed’ dan bukannya ‘story’, tulisnya.
Tambahnya lagi, dia berharap agar perkongsian dapat memberi kesedaran dan membuka mata orang ramai akan bahayanya sihir.
“Kita tak tahu sekeliling kita siapa yang baik dan siapa yang ada niat jahat. Lantaklah anda nak cakap atau fikir apa tentang aku.
“Tapi apa yang aku kongsi ni, hadam dan masuk otak anda. Lagi bagus alang-alang kaji dan ambil tahu sikit tentang sihir yang ada. Tak payah ego, Tanya sahaja pada ChatGPT. Kalau tak suka ChatGPT boleh guna Google cari info dalam internet.
“Kalau ada banyak masa lapang, lagi bagus jumpa ustaz atau ustazah beritahu nak belajar mengenal pasti benda syirik ni untuk langkah berjaga-jaga. Jangan dah terkena baru sibuk nak cari,” tulisnya. – KOSMO ONLINE