Menamatkan peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) dengan keputusan yang baik adalah satu detik sejarah terbaik buat tiga graduan ini.
Aisyah Lim Umar Lim, Nurul Adiba Sharifudin dan Khairul Nur Shafawani Syahrah Zaidi daripada latar belakang keluarga yang berbeza memiliki misi untuk mendapatkan segulung sijil bertauliah yang meletakkan mereka berada di status lebih baik untuk memperoleh pekerjaan di mana-mana syarikat utama bertaraf global.
Apatah lagi kemahiran, pengalaman dan pengetahuan serta kepimpinan diri menjadikan kadar kebolehpasaran masing-masing yang berusia 25 tahun itu lebih berpotensi dan kini menjawat jawatan yang baik, sekali gus bersemangat untuk ‘memberi kembali’ kepada komuniti serta membantu adik-adik junior yang sedang belajar di MyPAC.
Inilah wawasan Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, Datuk Zaiton Mohd. Hassan untuk melihat lebih ramai akauntan yang bertauliah dan berkualiti serta mampu menyumbang semula kepada masyarakat.
Bagi pelajar yang berminat dalam bidang perakaunan dan mahu mengikuti jejak tiga belia yang berjaya itu, MyPAC sedang membuka permohonan baharu sehingga akhir bulan depan untuk kemasukan pelajar baharu bagi bulan Oktober 2025.
KOSMO!: Boleh ceritakan tentang perjalanan anda dalam ACCA iaitu dari awal hingga berjaya menamatkan pelajaran?
Aisyah Lim: Saya mula mendaftar di MyPAC bermula Oktober 2023 untuk kursus selama setahun dengan mendapat penajaan daripada Yayasan UEM.
Pada awalnya saya beranggapan, kursus ini begitu susah, jadi saya mahu membuktikan bahawa saya boleh melakukannya dan mahu mencabar diri untuk berjaya. Terima kasih kepada sokongan dan bantuan yang diberikan oleh MyPAC kerana segala-gala keperluan semasa belajar di kampus di Kuala Lumpur mencukupi.
Daripada aspek kemudahan rumah yang selesa, keperluan buku, elaun harian dan pelbagai lagi membuatkan saya hanya tumpu pada pelajaran. Saya berjaya mendapat keputusan yang baik dan tidak lama selepas itu saya berjaya mendapat kerja. Kini saya bekerja sebagai Audit Associate di Forvis Mazaras Asia Pacific di Kuala Lumpur.
Ramai sedia maklum tentang ACCA adalah peperiksaan yang sukar, bagaimana Aishah berjaya mencatat keputusan yang baik?
AISHAH LIM: Alhamdulillah usaha keras tak akan pernah mengecewakan dan saya berbangga dengan pencapaian ini, pada mulanya, saya agak tertekan dengan cara pembelajaran dengan pensyarah yang mengajar terlalu laju membuat saya ketinggalan, saya tidak suka perasaan begitu.
Jadi saya cari jalan penyelesaiannya dengan membuat persediaan awal sehari sebelum masuk ke kelas. Saya juga menjadikan nasihat pensyarah untuk mendapatkan mentor yang terdiri daripada rakan-rakan belajar untuk memberi semangat dan tunjuk ajar agar tidak berkeseorangan dan sentiasa berbincang untuk mencari penyelesaian.
MyPAC memberi ruang kepada saya untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada belajar dan saya dan rakan serumah pastikan masa tersebut diisi dengan sebaiknya, secara purata kami belajar selama hampir lapan ke 12 jam sehari.

Mengapa anda berminat melanjutkan pengajian dalam ACCA walaupun telah mempunyai Ijazah Sarjana Muda dan apakah perbezaannya antara ACCA dengan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda?
Nurul Adiba: ACCA adalah salah satu keperluan profesional yang menjadi nilai tambah bagi seseorang graduan untuk memohon di mana-mana syarikat bertaraf global. Ia satu sijil yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Saya telah didedahkan mengenai ACCA sejak di sekolah menengah lagi dan saya akui dengan memiliki ACCA, ia akan menjadi satu kelebihan buat saya untuk bekerja di mana-mana syarikat besar.
Alhamdulillah saya kini telah bekerja lebih lapan bulan di PriceWaterhouseCoopers (PWC) setelah tamat pengajian sejak Januari tahun ini. Saya dapati sebaik melangkah masuk ke MyPAC, saya peroleh pelbagai ilmu mendalam dan meluas bukan sahaja daripada perakaunan tetapi juga mengenai ekonomi, kewangan, undang-undang dan lain-lain.
Ia juga memberi peluang kepada saya untuk menyelami pelbagai kes dalam industri yang berlaku secara realitinya.
Apakah kertas ACCA yang paling mencabar dan bagaimana anda mengatasi kekangan tersebut?
NURUL ADIBA: Kertas peperiksaan Strategi Business Leadership (SBL) adalah yang paling mencabar yang pernah saya duduki.
Persiapan untuk menghadapi peperiksaan tersebut memerlukan pengorbanan masa yang agak panjang untuk saya membaca dan memahami tentang pengetahuan luar yang sebenarnya berlaku dan ia juga melibatkan kajian kes yang berlaku dalam sesebuah industri.
Saya memerlukan sokongan daripada rakan dan juga mentor serta pensyarah untuk membuat persediaan. Di dalam kelas, saya perlu membuat persediaan lebih awal dan bertanya soalan untuk lebih memahami selain yang lebih penting saya sentiasa mendedikasikan masa personal saya untuk mengulang kaji selalunya bermula daripada pukul 4.30 pagi yang mana ketika itu saya lebih fokuskan belajar.

Apakah pencapaian terbaik anda sepanjang mengikuti kursus ini?
NUR SHAFAWANI: Perjalanan ACCA saya agak singkat tetapi sangat mencabar. Dalam enam bulan pertama, saya fokus kepada dua kertas iaitu Strategic Business Reporting (SBR) dan Advanced Audit and Assurance (AAA). Kemudian dalam enam bulan berikutnya, saya teruskan dengan SBL dan Advanced Financial Management (AFM).
Perjalanan ini tidak mudah kerana saya perlu cepat sesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran yang berbeza. ACCA lebih mendalam, dengan silibus yang sangat teknikal dan program yang berasaskan 100 peratus daripada peperiksaan dan bukan tugasan seperti di universiti.
Pencapaian yang paling membanggakan adalah ketika saya berjaya lulus peperiksaan pertama saya untuk kertas SBR dan AAA.
Terus terang, saya sendiri tidak menyangka akan lulus kerana semasa peperiksaan dalaman sebelum itu, saya tidak pernah mencapai markah lulus. Kejayaan itu bukan sahaja memberi keyakinan, malah menjadi pembakar semangat untuk saya habiskan baki dua kertas terakhir.
Di sebalik stres dan cabaran, saya sangat bersyukur dipertemukan dengan orang-orang baik yang sentiasa menyokong. Perjalanan ini penuh dengan emosi, ada masa rasa penat, stres, malah hampir putus asa. Bagi saya, kenangan belajar bersama mereka inilah yang paling berharga dan akan saya kenang sepanjang hayat.

Apa pendapat anda tentang peranan MyPAC membantu anda mencatat kejayaan sehingga kini dan apakah yang akan dilakukan untuk membantu komuniti?
NUR SHAFAWANI: Dari segi pembiayaan, MyPAC menanggung sepenuhnya bayaran yuran pengajian, yuran peperiksaan dan juga buku-buku, jadi saya dapat fokus belajar tanpa risau tentang kos.
Dari segi akademik pula, mereka juga memilih pusat tuisyen terbaik untuk memastikan kami mendapat sokongan pembelajaran yang berkualiti.
Mereka bukan sahaja menyediakan kelas, tetapi juga sentiasa mengambil berat contohnya mengadakan majlis bacaan Yasin sebelum peperiksaan, memberi kata semangat dan sentiasa bertanya khabar tentang keadaan kami. Semua ini membuatkan saya rasa dihargai dan lebih bersemangat untuk menamatkan ACCA.
MyPAC juga membuka jaringan kerjaya melalui hubungan dengan industri. Jadi, saya rasa MyPAC bukan sekadar penaja, tetapi benar-benar menjadi pemangkin kejayaan saya.
Selepas berjaya, saya bercadang untuk memberi kembali kepada komuniti dan MyPAC dengan berkongsi pengalaman serta ilmu kepada pelajar lain yang sedang melalui perjalanan ACCA.
Saya mahu menjadi inspirasi dan bukti bahawa dengan usaha, doa, dan sokongan yang betul, kejayaan itu boleh dicapai. Selain itu, jika ada peluang, saya juga ingin menyumbang kembali kepada program MyPAC, sama ada dalam bentuk bimbingan atau sokongan pada masa depan. -KOSMO! ONLINE