fbpx
HUI YING (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Seri Iskandar Mohd. Kaus (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perkhidmatan Pengembaraan dan Kesetiaan MAG, Philip See Yew Jin.

Tawaran Istimewa Naturally Langkawi sasar jana RM150 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) hari ini melancarkan Tawaran Istimewa Naturally Langkawi, yang memberikan potongan diskaun antara 20 dan 70 peratus bagi pelbagai tarikan serta perkhidmatan di pulau peranginan tersebut bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2025.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kempen tersebut tepat pada masanya kerana ia direka bukan sahaja untuk menarik pengunjung semasa musim luar puncak, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai destinasi yang mesti dikunjungi menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Jelasnya, Langkawi secara konsisten mengalu-alukan kira-kira tiga hingga 3.2 juta pelancong setiap tahun, menjana impak ekonomi lebih daripada RM7 bilion.

“Dengan kempen ini, kami menyasarkan untuk meningkatkan ketibaan pelancong sebanyak 15 hingga 20 peratus dan ini boleh menyuntik anggaran RM150 juta perbelanjaan tambahan ke dalam ekonomi tempatan.

“Ia akan menghasilkan lebih banyak tempahan penginapan dan pengangkutan, lebih banyak meja diduduki di restoran, dan lebih ramai peniaga kecil, serta usahawan tempatan mendapat manfaat secara langsung daripada peningkatan perbelanjaan pelancong.

“Kementerian Kewangan bersama-sama dengan kementerian dan agensi lain sangat menyokong inisiatif yang menyatukan kerajaan, pemain industri dan masyarakat yang mencerminkan semangat sebenar Malaysia, iaitu kemakmuran melalui kerjasama,” katanya pada majlis pelancaran.

Majlis sama turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara LADA dan Malaysia Aviation Group (MAG) bagi menjayakan kempen tersebut.

Sementara itu, Pengurus Bahagian Pelancongan LADA, Azmil Munif Mohd. Bukhari berkata, pihaknya telah membentuk kerjasama dengan lebih 20 pemain industri dari sektor perhotelan, restoran dan pengangkutan bagi menjayakan kempen berkenaan dan lebih banyak syarikat dijangka bakal turut serta menjelang Oktober.

“Tahun ini, kami menyasarkan ketibaan pengunjung sebanyak 3.5 juta orang berbanding 3.2 juta pada tahun lalu, yang mana 60 peratus daripadanya merupakan pelancong antarabangsa.

“Setakat Julai lalu, kami telah merekodkan 1.7 juta pengunjung,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI