WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk menghantar pasukan separa tentera, Pengawal Kebangsaan ke bandar Baltimore, negeri Maryland ketika beliau berusaha memperluaskan tindakan membanteras jenayah dan pendatang tanpa izin.
Kenyataan terbaru Trump di media sosial mengenai bandar raya Baltimore yang dianggap tidak terkawal dan sarat dengan jenayah muncul ketika pemimpin-pemimpin Parti Demokrat di negeri itu termasuk Gabenor Maryland, Wes Moore tampil mengkritik Trump.
Awal bulan ini, Trump mengerahkan Pengawal Kebangsaan ke jalan-jalan raya di Washington DC, dalam tindakan yang mendapat kecaman. Orang ramai menganggap kerahan itu sebagai pengambilalihan kawalan polis di ibu negara AS itu oleh kerajaan persekutuan.
Jun lalu, beliau turut mencetuskan kontroversi apabila mengarahkan hampir 5,000 askar Pengawal Kebangsaan ke Los Angeles dengan alasan untuk mematahkan protes terhadap operasi imigresen, dalam langkah yang ditentang oleh Gabenor California, Gavin Newsom.
Media AS turut melaporkan bahawa pentadbiran Trump sedang merancang langkah luar biasa untuk menghantar ribuan anggota Pengawal Kebangsaan ke Chicago, bandar ketiga terbesar di Amerika.
Mengenai Baltimore, Trump menulis di platform Truth Social miliknya: “Jika Wes Moore perlukan bantuan, seperti Gavin Newscum di L.A. (Los Angeles), saya akan hantar ‘tentera’, sebagaimana yang dilakukan di DC (Washington) untuk segera membersihkan jenayah.”
Pertelingkahan Trump dengan Moore, yang berkulit hitam, berubah menjadi semakin serius minggu lalu, apabila gabenor itu mengecam provokasi Trump untuk menghantar tentera ke Maryland.
Trump pula menggelar Moore sebagai menjengkelkan dan mengugut menarik balik dana persekutuan bagi membantu membaiki jambatan yang runtuh.- AFP