fbpx
Nigel (empat dari kiri) pada sidang akhbar di Sepang hari ini.

Matta Fair Ke-57 sasar jualan melebihi RM250 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menyasarkan jualan melebihi RM250 juta sempena penganjuran Matta Fair ke-57 yang akan berlangsung dari 5 hingga 7 September depan.

Presidennya, Nigel Wong berkata, secara tradisi pameran itu merekodkan sekitar RM250 juta jualan pada setiap edisi dan sasaran tersebut kekal pada tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya lebih yakin tahun ini berikutan sokongan kerajaan melalui kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta minat baharu yang semakin meningkat terhadap pelancongan ASEAN.

“Dengan dorongan kerajaan dan permintaan kukuh dalam kalangan negara serantau, kami menjangkakan jualan akan lebih cenderung ke arah itu termasuk peningkatan perbelanjaan dalam pelancongan domestik.

“Pameran kali ini turut menampilkan banyak produk serta tarikan baharu yang diperkenalkan oleh pempamer.

“Ramai pempamer hadir dengan pakej dan tarikan kreatif yang segar. Justeru, kami yakin ia akan mendorong lebih banyak perbelanjaan khususnya dalam pasaran domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman Malaysia Aviation Group (MAG) sebagai Rakan Penerbangan Rasmi dan Penaja Utama Matta Fair di sini tadi.

Katanya, kerjasama bersama MAG itu bukan sahaja menambah nilai kepada pameran, malah memperkukuh usaha memperkenalkan inovasi baharu dalam industri penerbangan serta pelancongan negara.

“Dengan sokongan MAG, kita mempunyai rakan kongsi yang memahami kepentingan memelihara hubungan antara destinasi dan manusia.

“Ia seiring matlamat kami untuk memberi pengalaman perjalanan lebih bermakna kepada pengunjung,” katanya.

Sementara itu, bagi memastikan kelancaran pengunjung, MATTA Fair ke-57 turut menawarkan kemasukan percuma bermula jam 10 pagi hingga 9 malam sepanjang tiga hari berlangsung.

Selain itu, perkhidmatan bas ulang-alik percuma turut disediakan dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC sebagai usaha mengurangkan kesesakan serta memberi kemudahan kepada orang ramai.

Bagi pengunjung yang memilih untuk memandu, kemudahan parkir disediakan di pintu masuk Selatan aras bawah MITEC, aras bawah MITI, kawasan parkir terbuka MATRADE serta aras bawah The MET.

Nigel berkata, semua langkah itu dilakukan bagi memastikan pengunjung dapat menikmati pengalaman membeli pakej pelancongan dan berhibur dengan lebih selesa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI