KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) menjalin kerjasama strategik dalam usaha memperkukuh keupayaan penyelamatan kecemasan kapal selam (SMER) di rantau ini.
Majlis menandatangani Perjanjian Antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Singapura bagi Sokongan dan Kerjasama Penyelamatan Kapal Selam Secara Bersama telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut kedua-dua negara serta disaksikan oleh Menteri Pertahanan masing-masing.
Melalui kerjasama ini, Malaysia dan Singapura komited menyediakan bantuan sekiranya berlaku insiden kecemasan melibatkan kapal selam.
Akses kepada sistem SMER yang lengkap serta rangka kerja operasi moden diyakini dapat memperkukuh kesiagaan pasukan menghadapi operasi berisiko tinggi.
Inisiatif tersebut turut merangkumi pertukaran data teknikal dan maklumat operasi antara kedua-dua pihak, selain penyelarasan sistem dan prosedur yang lebih seragam bagi memastikan koordinasi lebih pantas dan berkesan ketika insiden sebenar.
Markas Angkatan Kapal Selam TLDM dan Markas Armada TLRS ditetapkan sebagai agensi utama bertanggungjawab dalam penyeliaan serta pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Bagi memastikan komunikasi berjalan lancar, National Rescue Coordinators dari kedua-dua negara turut akan dilantik.
Kawasan liputan operasi merangkumi perairan utama seperti Laut China Selatan, Selat Singapura dan Selat Melaka, yang merupakan laluan strategik kepada keselamatan serantau serta perdagangan antarabangsa.
Kerjasama ini sekali gus memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-Singapura dalam aspek pertahanan, di samping menegaskan komitmen kedua-dua negara memastikan keselamatan operasi kapal selam di rantau ini.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia hari ini.
Lawatan itu menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua negara jiran melalui pelbagai pengisian diplomatik yang bermakna. – KOSMO! ONLINE