KUALA NERUS – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan empat kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke Himpunan RXZ 7.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, semua insiden itu berlaku sebelum program bermula melibatkan peserta dari beberapa negeri.
“Setakat ini, kita menerima laporan empat kematian akibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke lokasi RXZ Members 7.0 tahun ini.
“Saya menasihatkan semua peserta supaya lebih berhati-hati ketika pulang. Patuhi undang-undang, arahan pihak berkuasa dan elakkan aksi berbahaya yang boleh mengundang risiko kemalangan,” katanya di sini, malam tadi.
Mohd. Yusri turut mengingatkan peserta agar tidak melakukan aksi berbahaya seperti ‘superman’ serta bergerak secara berkumpulan bagi memastikan keselamatan lebih terjamin.
Beliau berkata, PDRM akan melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan sepanjang program berlangsung namun pendekatan kali ini lebih kepada pendidikan dan pemudah cara.
“Jika penat atau mengantuk, berhenti rehat di kawasan (Rehat dan Rawat) R&R atau stesen minyak sebelum menyambung perjalanan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, sehingga kini tiada saman dikeluarkan terhadap peserta RXZ Members 7.0. -KOSMO! ONLINE















