PETALING JAYA – Taktik penipuan dalam talian dikesan semakin licik apabila sindiket menjadikan kawasan hospital sebagai lokasi sasaran untuk memperdaya penghantar barang.
Dalam modus operandi terbaharu itu, ‘scammer’ menggunakan khidmat ‘rider’ untuk menghantar barangan termasuk makanan dengan memilih kaedah pembayaran secara tunai dan lokasi penghantaran pula di kawasan hospital.
Menerusi perkongsian beberapa pengguna media sosial, mereka berkongsi pengalaman menerima pesanan penghantaran daripada pelanggan.
Katanya, suspek yang menyamar sebagai pelanggan akan menghubungi penghantar di ruangan mesej meminta pertolongan membeli barangan tambahan.
Mereka turut menawarkan upah yang lumayan kepada penghantar sebagai ‘umpan’.
“Saya nak minta tolong belikan barang tambahan boleh? Nanti saya bagi ‘tip’ lebih,” katanya.
Menurut penghantar barang itu, individu terbabit turut memesan sebungkus nasi goreng untuk dihantar ke sebuah hospital di Puchong.
Seorang lagi penghantar berkongsi, dia dihubungi pelanggan yang meminta bantuan membeli nombor PIN Touch N’ Go sebanyak RM50 dan dua kotak susu untuk dihantar bersama makanan yang dipesan ke Hospital Selayang.
“Tunggu 20 minit, (pelanggan) tidak muncul-muncul. Bila call (hubungi) tidak diangkat. Nak tinggalkan makanan, bayar guna cash (tunai). Dasar ‘scammer’ (penipu). Mujur tak belikan Touch N’ Go kalau tak lebur RM50,” kongsinya.
Bagaimanapun, penghantar barang itu memberitahu mereka membuat laporan kepada pihak syarikat pengendali berhubung kejadian bagi mendapatkan ganti rugi. – KOSMO! ONLINE