KUANTAN – Sebuah rumah musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Kurnia, Batu 3, Jalan Kuantan–Gambang, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 6.47 pagi itu, api turut memusnahkan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang terbakar kira-kira 50 peratus.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dikejarkan ke lokasi bersama sebuah jentera.
“Api berjaya dikawal pada pukul 7.28 pagi dan padam sepenuhnya dua jam kemudian. Kebakaran membabitkan rumah separuh kekal yang musnah 100 peratus, namun tiada mangsa terlibat,” katanya hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman turut dibantu enam anggota BBP Taman Tas. Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE