fbpx
ANIQ KASDAN antara badang negara mengambil bahagian dalam Kejohanan Kelayakan Komanwel ketika ini.

Badang negara galas misi dua dalam satu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD angkat berat negara menggalas misi serampang dua mata pada Kejohanan Kelayakan Komanwel di India berlangsung hingga 31 Ogos ini.

Kejohanan tersebut bukan sahaja menjadi pentas memburu tiket ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, tetapi juga medan penting mengukur kekuatan sebenar menjelang Sukan SEA Thailand 2025.

Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Amirul Hamizan Ibrahim berkata, kejohanan tersebut bakal menjadi penanda aras utama.

Lebih-lebih lagi pengenalan kategori baharu oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) sekali gus memberi cabaran tambahan kepada kontinjen negara.

“Di India kita bawa misi besar kerana ia kejohanan kelayakan merit untuk Sukan Komanwel. Layak ke sana bukan mudah, jadi atlet perlu buat persediaan terbaik,” katanya.

Amirul Hamizan mengakui, kategori baharu diumumkan IWF hujung tahun lalu menimbulkan cabaran kerana tiada data terkini mengenai kekuatan pesaing, khususnya saingan Sukan SEA.

“Kejohanan ini akan memberi gambaran sebenar tahap kemampuan atlet kita dan juga pesaing. Semua atlet negara akan bertanding dalam kategori A untuk Sukan SEA, tetapi kita akan nilai semula prestasi mereka sama ada mencapai sasaran atau sebaliknya,” jelasnya.

Kontinjen negara diperkuatkan dengan sembilan atlet melibatkan enam lelaki dan tiga wanita yang akan menggalas cabaran Malaysia di India. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN