PASIR MAS -Empat lelaki lari lintang-pukang selepas kegiatan mereka menyeludup sebanyak 207 kilogram (kg) dadah jenis ganja dikesan anggota tentera darat di tebing Sungai Golok di sini semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, anggota tentera menjalankan rondaan di kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
Menurutnya, pasukan beroperasi melihat empat orang lelaki sedang memindahkan barangan dari sebuah bot ke tebing Sungai Golok di sempadan negara ini.
“Kesemua suspek melarikan diri ke tebing Sungai Golok di sebelah Thailand dengan meninggalkan barangan tersebut apabila dihampiri anggota tentera.
“Pemeriksaan mendapati, empat buah kotak yang ditinggalkan suspek mengandungi dadah jenis ganja mampat seberat 207 kg yang dianggarkan bernilai RM641,700,” katanya.
Menurutnya, kesemua dadah tersebut diserahkan kepada Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut.
Kenyataan itu turut berkata, tentera darat terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara sentiasa terkawal dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan. – KOSMO! ONLINE