LONDON – Chelsea didesak supaya menurunkan bintang remaja, Estevao Willian menjelang aksi kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham United yang akan berlangsung di Stadium London awal pagi esok.
Kelincahan pemain Brazil itu dianggap mampu untuk memecahkan benteng pertahanan lawan selepas The Blues dilihat bergelut ketika mereka mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Crystal Palace minggu lalu.
Estevao yang dimasukkan pada minit ke-54 ketika bertemu Palace membuktikan kehadirannya mampu memberi nilai tambah kepada Chelsea dari segi kreativiti apabila beberapa kali berjaya melepasi halangan pemain lawan.
Justeru, dia dianggap antara pemain yang paling sesuai untuk diturunkan dalam kesebelasan utama ketika bertemu West Ham bagi membantu Chelsea mencatat kemenangan sulung dan mengutip tiga mata penting.
Dalam pada itu, Estevao juga mengakui dia sudah dapat merasakan sendiri pengalaman beraksi dalam kempen EPL dan sedia untuk mempamerkan kemampuan sebenar sekiranya diberikan kepercayaan bermain selama 90 minit.
“Saya rasa cukup baik dan selesa. Saya fikir saya dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat daripada yang dijangka, mungkin perlu berterima kasih kepada pengurus kerana percaya dan sentiasa membantu saya.
“Apa yang perlu saya buat adalah bekerja keras dalam sesi latihan setiap hari. Saya tidak mahu terlalu tergesa-gesa dan hanya mahu memberikan fokus terhadap satu demi satu perlawanan,” ujar bekas pemain Palmeiras itu. – AGENSI