LONDON – Pengendali Brentford, Keith Andrews mengakui pasukannya sudah memandang ke hadapan selepas kehilangan beberapa pemain bertaraf bintang dalam misi mereka untuk melakar kejutan bertemu Aston Villa di laman sendiri malam esok.
Sebagai rekod, skuad The Bees terpaksa akur apabila beberapa pemain utama musim lalu seperti Bryan Mbeumo, Christian Norgaard dan penjaga gol, Mark Flekken sudah berhijrah, manakala status Yoane Wissa masih ‘tergantung’ sehingga kini.
Namun, Andrews menyifatkan barisan pemain kini kembali fokus untuk berada di landasan yang tepat dengan memburu kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Andrews berkata, kemungkinan besar pemain termahal dalam sejarah kelab, Dango Ouattara yang dibeli daripada Bournemouth minggu lalu akan membuat penampilan debut bertemu Villa nanti.
“Saya sangat teruja kita dapat memiliki pemain berkualiti seperti Ouattara kerana dia ada pengalaman beraksi dalam kancah EPL. Dia baru berusia 23 tahun dan ada masa depan yang cerah tetapi perlu konsisten,” katanya. – AGENSI