MOSCOW – Presiden Russia, Vladimir Putin memaklumkan kepada pegawai-pegawai tentera berpangkat jeneral tentang apa yang beliau mahukan sebagai balasan untuk menamatkan perang ke atas Ukraine, lapor laman berita Metro.co.uk semalam dengan memetik tiga sumber.
Putin menuntut supaya Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyerahkan keseluruhan wilayah timur Donbas, melepaskan cita-citanya untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), kekal berkecuali dan tidak membenarkan tentera Barat berada di dalam negara itu.
Menurut tiga sumber yang rapat dengan Moscow, beliau membuat tuntutan itu selepas bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Alaska minggu lalu.
Dalam pertemuan pertama sidang kemuncak Russia-AS dalam tempoh lebih empat tahun, kedua-dua pemimpin tersebut menghabiskan mesyuarat tertutup itu selama hampir tiga jam dengan membincangkan tentang bagaimana kompromi mengenai Ukraine mungkin dicapai, kata sumber.
Sumber Russia mendakwa bahawa Putin pada asasnya telah berkompromi daripada tuntutan asalnya iaitu Kyiv menyerahkan keseluruhan empat wilayah yang Moscow akui sebahagian daripada Russia.
Wilayah itu ialah Donetsk, Luhansk (yang membentuk wilayah Donbas), Kherson serta Zaporizhzhia.
Kyiv bagaimanapun menolak syarat tersebut kerana dianggap Ukraine ‘menyerah diri’ sepenuhnya.
Dalam cadangan baharunya, Putin tetap menegaskan bahawa Ukraine perlu berundur sepenuhnya dari bahagian Donbas yang masih dikuasainya.
Sebagai balasan, Moscow akan menghentikan serangan di Zaporizhzhia dan Kherson, kata sumber.
Namun, sumber itu memberi amaran bahawa masih tidak jelas sama ada Ukraine bersedia untuk menyerahkan baki wilayah Donbas dan jika tidak berbuat demikian, perang akan berterusan. – AGENSI