KAMPALA – Uganda bersetuju untuk menerima pendatang asing yang tidak layak tinggal di Amerika Syarikat (AS), kata seorang pegawai Kementerian Luar hari ini dalam percubaan terbaharu Washington untuk mempercepatkan pengusiran imigran.
Pentadbiran Presiden Donald Trump merundingkan cadangan untuk menghantar pendatang asing ke negara ketiga, antaranya El Salvador dan Eswatini, yang telah dikritik hebat oleh kumpulan hak asasi manusia.
Uganda sudah menjadi tuan rumah kepada populasi pelarian terbesar di Afrika iaitu kira-kira 1.7 juta orang, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ia merupakan negara Afrika timur terbaharu yang memberi isyarat perjanjian sedemikian dengan Washington selepas Rwanda dan Sudan Selatan.
“Perjanjian itu melibatkan rakyat negara ketiga yang mungkin tidak diberikan suaka di AS, tetapi enggan atau mungkin mempunyai kebimbangan untuk kembali ke negara air mereka,” kata Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Uganda, Vincent Bagiire.
Beliau berkata, ia adalah peraturan sementara, selain menegaskan bahawa individu yang mempunyai rekod jenayah dan kanak-kanak bawah umur tanpa ditemani tidak akan diterima.
Bagiire juga menyatakan keutamaan negara itu bahawa individu dari negara-negara Afrika adalah yang akan dipindahkan ke Uganda.
“Kedua-dua pihak sedang mengusahakan kaedah terperinci bagaimana perjanjian itu akan dilaksanakan,” tambahnya. – AFP