fbpx
Armizan di Dewan Rakyat, hari ini. - Foto JABATAN PENERANGAN

Tiada Kedai Rakyat, Kedai Madani – Armizan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak berhasrat untuk mewujudkan Kedai Rakyat atau Kedai Madani.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini kerana pihaknya mahu menumpukan kepada pengukuhan dan perluasan kerjasama strategik dengan rangkaian sektor peruncitan sedia ada seperti pasar raya, pusat pembelian termasuklah kedai runcit melalui Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).

“Dalam kita menggerakkan PJRM pada fasa awal ini, kita manfaatkan premis peruncitan sedia ada seperti pasar raya, pusat membeli-belah dan kedai runcit.

“Kita juga memikirkan kekhuatiran mereka sekiranya wujud kedai khas, maka ia memberi kesan kepada perniagaan premis peruncitan itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Armizan, KPDN membuka ruang kepada mana-mana premis peruncitan, kedai runcit, pasar raya dan pusat membeli-belah yang mahu terbabit dalam PJRM.

Bagaimanapun katanya, terdapat dua faktor penting akan dipertimbangkan iaitu aspek lokaliti, sama ada premis itu mempunyai akses yang meluas kepada rakyat untuk hadir ke PJRM serta perlulah berupaya menawarkan unit simpanan stok (SKU) barangan yang mencukupi.

“Ia supaya apabila rakyat kita hadir ke sesuatu program PJRM yang dilaksanakan, mereka mempunyai pelbagai pilihan dan tidak perlu ke tempat lain untuk dapatkan bekalan SKU yang mereka perlukan untuk kegunaan rumah masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan, Kerajaan Madani tidak akan menarik subsidi gas petroleum cecair, bahkan pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana akan terus mendapat manfaat daripadanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI