SEREMBAN – Seorang juruelektrik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap tiga anak lelaki tirinya berusia 15 hingga 19 tahun menggunakan sebatang paip polivinil klorida (PVC) pada 15 Ogos lalu.
Tertuduh, M.Satiskumar, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin dan N.Kanageswari di dua kamar mahkamah berasingan.
Mengikut tiga pertuduhan, Satiskumar dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas tiga anak lelaki tirinya berusia 15, 16 dan 19 tahun dengan menggunakan alat yang jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin boleh menyebabkan kematian iaitu sebatang paip pvc.
Kesemua kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 5.30 pagi di sebuah rumah di Taman Bukit Mutiara di sini pada 15 Ogos lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan d bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara dalam tempoh boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Dalam pada itu, isteri tertuduh, R.Tharani, 39, seorang suri rumah tidak mengaku bersalah atas satu pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas anak lelakinya yang berusia 16 tahun dengan menggunakan pisau yang mungkin boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi dan masa yang sama dengan pendakwaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni dan Siti Khairiah Abdul Razak masing-masing menawarkan jaminan RM50,000 dan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Ketika prosiding, Satiskumar berkata, anak tirinya itu dikatakan menghisap vape dan sebelum ini pernah ditegur secara baik namun tidak mendengar nasihatnya.-KOSMO! ONLINE