KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya merampas Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi bernilai RM3.1 juta yang diseleweng, hasil penguatkuasaan antara tahun 2024 hingga 18 Ogos lalu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rampasan LPG bersubsidi yang diseleweng itu melibatkan 489 kes menerusi Ops 3.0 yang bermula 7 Januari tahun lalu.
“Operasi penguatkuasaan itu melibatkan enam barang kawalan iaitu diesel, gula putih bertapis, minyak masak bungkus polibeg 1kg, tepung gandum, petrol RON95 dan LPG,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai langkah kerajaan dalam membanteras ketirisan subsidi LPG serta usaha mengurangkan beban kos kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seperti warung dan gerai makan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi LPG kepada sektor komersial.
Mengulas lanjut, Armizan berkata Operasi Gas Memasak (Ops Gasak) dijalankan antara 1 Mei hingga 31 Oktober lalu bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap penyelewengan subsidi LPG oleh pihak tidak layak dalam sektor industri komersial dan perniagaan berskala besar.
“Salah satu bentuk penyelewengan yang menjadi sasaran ialah menangani kegiatan decanting, iaitu pemindahan LPG secara haram daripada tong bersubsidi ke tong industri ataupun tong komersial.
“KPDN juga akan memanfaatkan teknologi digital dalam memperkasa pemantauan dan penguatkuasaan berhubung pengedaran, penyimpanan dan penggunaan LPG bersubsidi,” katanya.
Selain itu, katanya, pada masa ini kerajaan tidak melaksanakan penyasaran subsidi bagi produk LPG dan PMKS masih boleh menggunakan LPG bersubsidi dan mereka tidak sepatutnya menaikkan harga makanan.
“Buat masa ini kerajaan juga akan terus memastikan subsidi penggunaan LPG dinikmati oleh isi rumah dan PMKS, terutamanya sektor makanan dan minuman,” katanya. – KOSMO! ONLINE