PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan hasil sebanyak RM309.8 juta, menyumbang kepada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM27.1 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
Prestasi ini menunjukkan LBS berdaya tahan selaras dengan usaha Kumpulan untuk membina asas kukuh bagi gelombang pertumbuhan seterusnya.
Pencapaian ini didorong oleh beberapa projek Kumpulan yang telah siap atau hampir siap pada tahun lalu. Pembangunan perbandaran Kumpulan pula dijangka terus memberikan sumbangan yang kukuh pada masa hadapan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri (Dr) Lim Hock San berkata, bagi separuh pertama tahun 2025, LBS telah mencatat hasil terkumpul sebanyak RM639.0 juta, yang mana sebahagian besarnya disumbang oleh segmen pembangunan hartanah yang merangkumi 95.5 peratus daripada jumlah hasil.
Sehubungan itu, LBS merekodkan PATMI sebanyak RM55.3 juta.
“Di dalam fasa peralihan, kami bersedia untuk gelombang pelancaran seterusnya di bawah Strategi 8 x 8, seiring dengan pembangunan transformasi Perbandaran Kwasa Damansara.
“Inisiatif-inisiatif ini, turut disokong oleh bank tanah seluas 1,512 hektar menjadi pemacu utama perkembangan Kumpulan dan bakal membentuk saluran pembangunan yang mampan bagi menyokong pertumbuhan Kumpulan dalam jangka sederhana hingga panjang,” katanya dalam kenyataan.
Bagi prospek akan datang, prestasi jualan LBS kekal kukuh dengan jumlah jualan hartanah dan tempahan masing-masing berjumlah RM690.20 juta dan RM401.11 juta setakat 19 Ogos 2025.
Lembah Klang terus menjadi pemacu utama pertumbuhan Kumpulan, didorong oleh perbandaran utama LBS Alam Perdana yang mencatat pertumbuhan jualan tertinggi.
Dalam jangka sederhana hingga panjang, prestasi LBS dijangka menyerlah lagi melalui Perjanjian Hak Pembangunan yang telah dimeterai bersama Kwasa Land Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya bagi pembangunan tanah seluas 192.32 ekar di Kwasa Damansara.
Dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM8.30 bilion, pembangunan kediaman premium tersebut bakal dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 14 tahun, sekali gus memperkukuh kedudukan LBS sebagai peneraju pembangunan hartanah di Lembah Klang.
“Dengan jualan belum dibil berjumlah RM1.33 bilion yang akan diiktiraf secara berperingkat, serta momentum jualan yang kukuh di pasaran teras kami di Lembah Klang, LBS mempunyai keterlihatan pendapatan yang kukuh pada masa hadapan.
“Perbandaran KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, di samping projek Prestige Residence dan Idaman, terus menunjukkan prestasi yang baik, sekali gus mengukuhkan kedudukan daya saing kami serta keupayaan untuk menjana nilai jangka panjang kepada para pemegang saham,” tambah beliau.