KLUANG – Sepasang suami isteri merayu orang ramai membantu dalam usaha mencari dana RM185,000 untuk pembedahan pemindahan hati anak bongsu mereka di China selepas penyakit biliary atresia atau saluran hempedu tersumbat yang dihidapinya masih belum pulih.
Biliary atresia sering menyerang bayi baru lahir yang menghalang pengaliran cecair hempedu ke usus lalu terkumpul pada hati hingga boleh menyebabkan kerosakan atau kegagalan fungsi.
Muhammad Aliffudin Ramlee, 36, berkata, anaknya, Umar Al Mukhtar, 14 bulan, mula dikesan menghidap penyakit masalah hati ini sejak berusia dua bulan sebelum pembedahan kali pertama pada 14 Ogos tahun lalu di hospital kerajaan.
Bagaimanapun katanya, keadaan kesihatan anaknya semakin merosot dan pembedahan kedua perlu dilakukan segera.
“Isteri saya, Nurhafizah Lokaman, 31, akan mendermakan sebahagian hatinya untuk anak kami, namun pembedahan tertangguh kerana dana masih belum cukup.
“Ia merangkumi kos pembedahan termasuk perjalanan, penginapan kira-kira sebulan di sana dan kos ubat-ubatan selama setahun,” katanya.
Menurut Pengerusi Sekolah Rendah Islam Al Ukhuwwah di Kampung Bentong di Kluang itu, tarikh pembedahan juga masih belum ditetapkan kerana ketiadaan dana.
Tambahnya, keluarganya yang kini tinggal di Taman Sri Nyior di sini amat memerlukan keprihatinan orang ramai bagi membantu mendapatkan dana mencukupi agar sesi temu janji pembedahan dapat ditetapkan.
“Saya dengan rendah diri merayu keprihatinan orang ramai bagi membantu kami demi untuk memulihkan kesihatan anak kedua ini agar dia dapat membesar dengan baik,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Pertubuhan Kebajikan Sejahtera Kluang Johor (Rujukan:Dana Umar) di nombor 0105 0010 0405 19 atau hubungi Nurhafizah serta Muhammad Aliffudin di talian 011-6176 6422/ 019-726 0730.