PETALING JAYA – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan supaya kerajaan menggajikan belia dan menurunkan had umur warga emas sebagai langkah menyelesaikan isu peralihan peranan anak muda dalam negara.
Ketua Penerangannya, Wan Mahussain Wan Zain berkata, pelaksanaan Akta 668 yang menetapkan had umur belia tidak melebihi 30 tahun bermula 1 Januari 2026 bakal menyaksikan ramai pemimpin persatuan belia akan hilang status sekali gus menghadkan penglibatan mereka.
“Pada usia 30, ramai yang sudah ada majikan. Jadi bagaimana nak beri komitmen penuh kepada gerakan belia? Kalau serius nak bantu, gajikan mereka melalui skim seperti MySTEP atau hidupkan semula program Felo Perdana,” katanya.
Wan Mahussain turut menyarankan agar umur warga emas diturunkan kepada 50 tahun berbanding 60 tahun ketika ini dan umur persaraan diselaraskan dengan penurunan had umur belia.
“Ramai anak muda masih menganggur, tapi umur pencen hendak naik sampai 65 tahun. Apa logiknya? Kita turunkan umur belia, tapi tak beri ruang pada belia,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan pengisian jawatan dalam agensi belia yang masih didominasi golongan bukan belia dan menuntut ia diserahkan kepada anak muda sebenar.
Katanya, sudah tiba masanya pemimpin belia dipilih dalam kalangan mereka yang berada dalam kelompok usia belia.
“Tiada guna bercakap soal belia kalau pemimpin belia sendiri itu bukan belia,” katanya.– KOSMO! ONLINE.