KUALA LUMPUR – “Kamu orang Indonesia, buat apa menyanyi di sini (Malaysia), patut jadi maid (orang gaji).”
Demikian antara perkongsian penyanyi handalan seberang, Allan Andersn yang mendedahkan pernah menjadi mangsa buli ketika menyertai satu program nyanyian tempatan.
Allan atau nama sebenarnya, Joan Allan Anderson berkata, meskipun berdepan pengalaman sedemikian, dia bertindak merendahkan ego dengan tidak membalas sebarang provokasi individu terbabit.
“Saya pernah dituduh saya membuli orang ketika bertanding di program terbabit. Setelah saya periksa, orang itu berkata tujuannya membuat tuduhan membuta tuli terbabit hanya kerana inginkan publisiti.
“Saya konfron dengan hantar mesej kepadanya bertanyakan apa masalah sebenar, tetapi sesudah itu dia recall (padam) semua sejarah mesej tapi saya sudah screenshot. Tak tunjuk kepada sesiapa kerana malas memanjangkan cerita.
“Dua tiga minggu di pertandingan itu, saya hanya rasa nak tamatkan segera (pertandingan). Dapat DM (mesej langsung) berbunyi, ‘saya orang Indonesia, buat apa menyanyi, patut jadi orang gaji sahaja’,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Tambah penyanyi yang cukup dikenali menerus lagu berjudul Rindu itu, apa yang berlaku di belakang tabir ketika program berlangsung, hanya dirinya tahu dan cekal menghadapinya.
“Saya cuba sahaja kuat atas pentas—senyum tapi dalam hati saya sudah tak mahu lagi (terus bertanding).
“Disebabkan itu, saya sangat tidak bersetuju dengan sebarang bentuk tindakan buli. Berhentilah komen buruk tentang sesuatu demi kepuasan sendiri. Saya mungkin dah ampunkan dia tapi tak boleh melupakan perbuatannya,” katanya.
Allan menjawab pertanyaan tentang budaya buli yang semakin meruncing bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.
Ditanya tentang nasib Allahyarham Zara Qairina, 13, yang dilaporkan meninggal dunia akibat perbuatan buli di sekolah, jawab Allan: “Buli ini bukan sahaja dari segi fizikal. Ada yang difitnah dengan komen jahat di media sosial.
“Jangan bicara tentang #JusticeForZara selagi kalian masih bergelar keyboard warrior.
“Badan naik sikit, dikomen. Hijab senget sikit, dikomen. Orang kulit gelap, dikomen. Saya berharap keadilan buat Zara ditegakkan dan mereka yang membulinya akan ditangkap.”
Single baharu
Dalam perkembangan lain, Allan, 33, tampil dengan single terbaharu berjudul Seakan Ku Tak Ada. Trek ini merupakan salah satu daripada lagu yang terkandung dalam album studionya yang berjudul dear aa dan mengangkat tema perasaan diabaikan dalam sebuah hubungan.
“Lagu Seakan Ku Tak Ada terinspirasi dari kisah seorang teman rapat. Setiap kali dia bercerita tentang hubungannya, saya merasa ada sesuatu yang janggal, seolah-olah pasangannya tidak menghargai keberadaannya.
“Dari situ, saya mula membayangkan bagaimana rasanya mencintai seseorang, tapi rasanya seperti tidak pernah benar-benar dianggap.
“Perasaan itulah yang saya jelmakan dalam lagu ini. Meskipun bukan pengalaman peribadi secara langsung, tapi emosi yang saya rasakan ketika menulis lagu ini sangat dekat di hati saya.” ujar Allan mengenai inspirasi di sebalik lagu tersebut.
Lagu Seakan Ku Tak Ada dan album dear aa kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama termasuk Apple Music, Spotify dan iTunes. – KOSMO! ONLINE