SIK – Kehilangan seekor anak lembu betina milik seorang penternak di Kampung Dusun Pengapit di Jeneri, di sini terjawab apabila haiwan itu dipercayai sudah dibaham ular sawa batik.
Penternak terbabit, Ahmad Hamid, 62, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas mendapati seekor anak lembu tiada di kandang kira-kira pukul 9 pagi semalam.
“Saya cuba mencari anak lembu itu sekitar pukul 6 petang semalam di kawasan kandang dan belukar berhampiran. Namun, saya ternampak seekor ular sawa batik dalam keadaan kekenyangan di kawasan semak,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, dia segera mendapatkan bantuan penduduk kampung untuk menangkap reptilia itu, namun berdepan kesukaran untuk membawa ia keluar dari belukar sebelum menghubungi Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM).
Pengarah BSYJM, Mahadzir Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.30 malam sebelum empat anggota briged bergegas ke lokasi kejadian.
“Kami dapati seekor ular sawa seberat hampir 100 kilogram dengan panjang lebih lima meter sudah ditangkap orang kampung. Operasi berlangsung hampir setengah jam sebelum ia berjaya dipindahkan menggunakan jentera untuk diserahkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Sik,” katanya. – KOSMO! ONLINE