PUTRAJAYA – Usaha mencari keadilan buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir hanya boleh ditegakkan mengikut undang-undang, bukannya menerusi laporan yang dikongsikan di media sosial.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui banyak khabar angin yang tersebar mengenai kematian pelajar tingkatan satu dari Sabah itu dan ia tidak akan berhenti.
Katanya, biarpun beliau sudah berkongsi laporan siasatan kes tersebut di Dewan Rakyat semalam, namun fitnah dan berita palsu akan terus tersebar.
“Walaupun saya bantu sedikit memberikan kenyataan menteri dalam Parlimen, tapi itu bukan bermakna di luar sana hilang fitnah and berita palsu berhenti, tidak tidak sama sekali.
“Dia (rakyat) akan terus memilih mana (fakta dan laporan) yang mereka mahu tegakkan. Nak cari kebenaran dan keadilan semua itu asas yang mempertemukan kita, tiada beza. Cuma kita hendak tegak kebenaran dan keadilan mesti berasaskan lunas undang-undang.
“Ia tak boleh membandingkan kepada siapa cakap apa di luar dan menggunakan platform media sosial, itu tak boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan peringkat kementerian dan perhimpunan bulanan di sini, hari ini.
Saifuddin mengakui biarpun segala penerangan telah diberikan mengenai kes kematian Zara Qairina, namun ia sukar mengubah stigma yang ada dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menyelar tindakan segelintir pihak yang menunggang isu tersebut demi keuntungan politik masing-masing dan menyifatkannya sebagai keterlaluan.
“Kita tak boleh tunggang dan main politik atas nyawa orang. Tak boleh ya. Keluarga ditimpa kesedihan, anak tunggal meninggal, kita nak tunggang dan nak dapat keuntungan politik atas derita dan nyawa orang lain, too much (keterlaluan),” katanya.
Sementara itu, dalam sidang akhbar pada majlis sama, Saifuddin berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.
“Jadi, itu proses yang saya maksudkan bahawa polis bertindak mesti mengikut lunas undang-undang untuk tujuan mencari kebenaran dan keadilan,” katanya. – KOSMO! ONLINE