WASHINGTON – Pegawai-pegawai tentera tertinggi Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bertemu di Washington kelmarin untuk membincangkan mengenai mekanisme bagi kebarangkalian perjanjian damai Ukraine.
Pertemuan itu diadakan selepas Presiden Donald Trump menolak untuk menghantar tentera AS ke Ukraine sebaliknya mencadangkan sokongan udara sebagai jaminan keselamatan untuk Kyiv.
Dalam satu siri usaha diplomatik untuk menamatkan perang, Trump mengundang Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan pemimpin-pemimpin Eropah ke White House Isnin lalu, tiga hari selepas pertemuan bersejarahnya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin di Alaska.
Walaupun Trump berkata bahawa Putin bersetuju untuk bertemu Zelensky dan menerima jaminan keselamatan dari Barat untuk Ukraine, janji-janji itu disambut dengan penuh berhati-hati oleh Kyiv.
Negara-negara Barat turut berhati-hati dengan persetujuan Putin, manakala banyak butiran perjanjian tersebut kekal kabur.
Putin mencadangkan sidang kemuncak dengan Zelensky diadakan di Moscow, kata tiga sumber yang mengetahui tentang panggilan telefon antara Trump dan pemimpin Russia itu kepada AFP.
Salah satu sumber berkata, Zelensky segera menolak untuk bertemu Putin di ibu kota negara yang menyerang tanah airnya pada 24 Februari 2022.
Trump bagaimanapun menyatakan bahawa beliau kekal optimis mengenai proses tersebut selepas bertemu secara berasingan dengan Putin dan Zelensky.
“Sekarang saya rasa lebih baik jika mereka bertemu tanpa saya.
“Kita lihat bagaimana hasilnya,” kata Trump kepada hos Mark Levin dalam satu rancangan radio kelmarin. – AFP