LONDON – Seorang wanita di England terperanjat apabila menemukan seekor ular bersembunyi di dalam kotak hadiah ulang tahun kelahiran anak perempuannya, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Kejadian berlaku di sebuah kejiranan di Norris Green, Liverpool.
Jennifer Baker, 30, meletakkan kotak kosong di atas ketuhar selepas dibuka oleh anak perempuannya sempena meraikan ulang tahun kelahiran kanak-kanak itu yang ke-3.
Namun, Baker terkejut apabila melihat ular di dalam kotak tersebut ketika dia mahu membuangnya ke dalam tong kitar semula.
“Saya berasa kotak itu berat. Semasa diangkat, seekor ular berwarna oren terang tiba-tiba terjatuh.
“Saya menyangka reptilia itu adalah mainan, namun lidahnya terjelir menyebabkan saya panik dan menjerit,” kata Baker.
Wanita tersebut kemudian dibantu oleh ibunya dengan memasukkan reptilia itu ke dalam kotak sebelum dipulangkan semula kepada pemiliknya yang tinggal berhampiran rumah mereka. – AGENSI