CYBERJAYA – Ugo Inc mahu menjadikan kerjasamanya dengan Leave A Nest Malaysia sebagai platform terbaik untuk meluaskan penguasaan pasarannya ke seluruh negara dan seterusnya ke negara jiran di rantau Asia Tenggara.
Ugo Inc yang berpangkalan di Tokyo, Jepun adalah pengeluar robot dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI) khusus digunakan untuk persekitaran yang sukar dilalui manusia dan juga berunsurkan senyap bersesuaian untuk kegunaan di pusat penjagaan kesihatan dan juga hotel, malah ia juga berfungsi melaksanakan kerja-kerja kawalan keselamatan dalam sesebuah premis.
Ketua Pegawai Operasinya, Kenta Nakagawa berkata, ini adalah peluang terbaharu syarikat menembusi pasaran di luar Jepun dan mendapati keperluan pelanggan daripada kumpulan sasarannya untuk menggunakan robot yang dikenali sebagai Ugo Mini semakin menggalakkan.
Menurut beliau, robot dengan ketinggian yang seberat 16 kilogram dan ketinggian 68 sentimeter (cm) itu bersesuaian untuk digunakan dalam sektor perkilangan dan pusat pangkalan data.
“Ugo Mini dibangunkan untuk melalui di kawasan yang sempit yang mana robot-robot biasapun tidak dapat memasuki kawasan berkenaan. Ia juga boleh membuat pemantauan berterusan untuk sebuah kawasan yang terhad seperti dari bilik sekuriti.
“Antara ciri-ciri yang terdapat pada Ugo Mini adalah pelarasan ketinggian robot pada tiang teleskopik sehingga 186 cm yang membolehkan ia membuat pemantauan dengan jelas dan tepat,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tambah Nakagawa, konsep sewaan dalam suatu tempoh kontrak akan diguna pakai bagi pelanggan di Malaysia yang mahu menggunakan khidmat Ugo Mini dengan kadar yang berpatutan.
Jelasnya, Ugo Mini bakal menjadi pilihan dalam sektor-sektor tertentu kerana ia akan dapat membantu mengurangkan kos pekerja, mempertingkatkan kecekapan operasi dan membantu menyelesaikan masalah kekurangan pekerja seterusnya ia bakal memberi manfaat keuntungan kepada syarikat untuk tempoh jangka panjang.
Nakagawa menerangkan, Ugo Mini dijangka mula berada di pasaran Malaysia pada tahun depan yang menjadi titik awal syarikat untuk mengukuhkan kedudukannya di bawah kerjasama Leave A Nest di sini dan seterusnya berkembang ke negara lain di pasaran Asia.
Kejayaan tersebut akan disusuli dengan pengenalan dua lagi robot keluaran syarikat iaitu Ugo Ex dan Ugo Pro untuk pelan perkembangan syarikat pada masa depan. -KOSMO! ONLINE