PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony kekal menjalani hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana pemalsuan dokumen selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan semakannya.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Hakim Azman ketika membacakan keputusan itu berkata, ketiadaan laporan polis dalam penghakiman ringkas panel terdahulu yang menolak rayuan Peter, tidak menyebabkan berlakunya salah laksana keadilan.
“Isu berkaitan laporan polis itu sebaliknya telah diulas dalam penghakiman penuh bertarikh 1 Ogos lalu. Ketiadaan isu berkenaan dalam penghakiman ringkas, tidak menyebabkan salah laksana keadilan. Laporan polis itu telah dibincang dengan teliti. Hanya kerana ia tidak dinyatakan dalam penghakiman ringkas, sukar untuk membuat anggapan bahawa ia tidak dipertimbangkan oleh panel terdahulu,” kata hakim Azman.
Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Peter, berhujah, persoalan mengenai laporan polis itu tidak disentuh langsung dalam alasan penghakiman ringkas yang dibacakan oleh panel terdahulu ketika menolak rayuan Peter.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pula berhujah agar semakan itu ditolak kerana permohonan itu gagal melepasi `ambang’ (threshold) yang mewajarkan ia dibenarkan.
Sebelum ini, Peter selaku perayu memfailkan notis usul bersama afidavit sokongan di Mahkamah Rayuan pada 14 Mac lalu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Berdasarkan notis usul tersebut, Peter memohon supaya mahkamah mengkaji semula dan mengetepikan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac atas pertuduhan di bawah seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Peter turut memohon supaya mahkamah membatalkan waran mempenjarakan bertarikh 4 Mac lepas yang dikeluarkan kepada Penjara Kajang terhadap beliau serta apa jua perintah-perintah berbangkit “Consequential Orders” diberi atau dibuat oleh mahkamah bagi tujuan keadilan kes ini.
Alasan lain dikemukakan ialah keputusan mahkamah sebelum ini bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan, selain
Peter mendakwa panel rayuan tidak memberi penilaian yang mencukupi terhadap keterangan atau bukti baharu untuk membenarkan rayuan pemohon untuk dibebaskan dan dilepaskan.
Peter kekal dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 di Mahkamah Rayuan di sini selepas keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas menolak rayuan akhir Peter, 54, bagi mengetepikan hukuman dan sabitan terhadapnya.
Dua lagi hakim yang turut bersidang Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tiga tahun itu bermula serta-merta. Peter sebelum ini telah selesai membayar jumlah denda RM50,000. – KOSMO! ONLINE