MELAKA – Seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini mendakwa menjadi mangsa buli mental apabila diejek ‘budak miskin’ hanya kerana enggan menyumbang wang kepada pelaku untuk membeli barang peribadi mereka.
Menurut sumber, kejadian bermula pada Mei lalu di asrama sekolah apabila si pelaku yang merupakan rakan sekelas mangsa bersama seorang lagi pelajar telah membuat kutipan wang untuk membeli rak buku.
“Bagaimanapun rak tersebut bukanlah untuk kegunaan ramai tetapi peribadi, disebabkan itu mangsa menolak untuk menyumbang dan sejak kejadian dia telah diejek ‘budak miskin pada setiap hari.
“Perbuatan buli mental itu berlarutan sehingga minggu lalu dan pelaku didakwa secara sinis melaungkan slogan ‘kami benci buli’ yang diterapkan di setiap sekolah baru-baru ini dengan menambah perkataan ‘kami sayang (pembuli)’,”katanya.
Tambahnya, mangsa yang tidak tahan dengan gangguan itu telah memberanikan diri membuat aduan kepada guru dan pelaku akhirnya dipanggil pihak sekolah pada 30 Jun lalu.
“Apabila si pelaku kembali ke kelas, seorang rakan baiknya bertanyakan sebab dia dipanggil dan remaja berkenaan meluahkan rasa geram dan menyatakan mahu menampar seseorang.
“Mangsa yang ketakutan kemudian menceritakan perkara itu kepada ibunya dan wanita itu dikatakan ada mengadukan hal tersebut kepada guru serta pengurusan sekolah menerusi mesyuarat pada 3 Julai lalu, namun pihak terbabit menafikan ia kejadian buli,” katanya.
Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir tengah hari semalam susulan bimbang dengan keselamatan dirinya. – KOSMO! ONLINE