fbpx
Antara individu yang ditahan dalam Op Perdana AADK di sekitar Jalan Imbi, malam tadi. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

Op Perdana AADK: 112 penagih dicekup di Bukit Bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 112 individu ditahan dalam Operasi Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dijalankan sekitar kawasan Jalan Imbi, Bukit Bintang, sejak tengah malam Selasa lalu.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, berkata operasi itu dijalankan serentak di Kuala Lumpur dan Labuan dengan membabitkan kawasan berisiko tinggi aktiviti penagihan dadah.

Katanya, operasi bersepadu itu dijalankan secara menyeluruh dengan penyertaan lima daerah AADK iaitu Dang Wangi, Sentul, Brickfields, Cheras dan Labuan, melibatkan kekuatan 23 pegawai serta 54 anggota penguat kuasa.

“Operasi ini memberi tumpuan di beberapa kawasan berisiko tinggi penyalahgunaan dadah termasuk kawasan port terbuka dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Kita mengesan secara intensif penagih dan ppenyalahgunaan dadah bagi diberi rawatan serta pemulihan melalui program rawatan dan pemulihan dalam institusi (RPDI) atau rawatan dan pemulihan dalam komuniti (RPDK).

“Selain itu, ia juga bagi memutuskan rangkaian bekalan dan permintaan terhadap bahan terlarang di lokasi tumpuan serta menghapuskan port penagihan aktif khususnya di kawasan berisiko tinggi,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi di Jalan Imbi, semalam.

Beliau berkata, hasil saringan awal mendapati kesemua individu positif dadah berusia antara 19 hingga 61 tahun, terdiri daripada 107 lelaki dan lima wanita.

“Pecahan mengikut jenis dadah pula adalah sebanyak 70 orang positif methamphetamine, heroin (22), ganja (8) dan benzo (5).

Dalam operasi sama, AADK Daerah Dang Wangi turut menyerbu satu lokasi penagihan yang dikenali sebagai ‘Port Imbi’ dan menahan 20 individu.

Katanya, lokasi tersebut dikesan aktif sejak tahun lalu dan menjadi tumpuan penagih antara pukul 6 pagi hingga 10 pagi serta 5 petang hingga 7 malam, dengan anggaran 15 hingga 30 orang berada di situ pada satu masa untuk membeli dadah sebelum atau selepas waktu bekerja.

Tambahnya, usaha penguatkuasaan seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi merealisasikan hasrat Dadah Terkawal 2025.

Kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI