fbpx
Ruslin memerhatikan dua penagih yang ‘kantoi’ ketika bersembunyi di kawasan semak berhampiran tapak pembinaan, di Jalan Imbi, malam tadi. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

‘Kantoi’ panjat zink, penagih dicekup depan mata Ketua Pengarah AADK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Cubaan dua penagih meloloskan diri dengan memanjat dinding zink ketika operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Jalan Imbi, Bukit Bintang, malam tadi terbantut apabila taktik mereka dikesan akibat bunyi bising yang mencurigakan.

Ketika kejadian, Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh turut berada di lokasi ketika pihaknya menjalankan Operasi Perdana di kawasan tapak pembinaan terbiar yang dijadikan port penagihan.

Wartawan Kosmo! yang menyertai operasi dapat melihat situasi membabitkan dua lelaki cuba melarikan diri dengan memanjat dinding zink, namun segera dikesan anggota.

Dengan pantas, anggota AADK mengepung kawasan tersebut sebelum berjaya menahan kedua-duanya.

Menurut Ruslin, operasi yang bermula tengah malam Selasa itu berjaya menahan 112 individu positif dadah di Kuala Lumpur dan Labuan.

Mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 61 tahun, terdiri daripada 107 lelaki dan lima wanita.

Katanya, hasil saringan awal mendapati 77 individu positif syabu, manakala selebihnya positif heroin, ganja dan benzo.

“Kebanyakan yang terjebak dengan heroin adalah golongan penagih lama berusia 40 hingga 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata, walaupun AADK giat melakukan operasi, aspek rawatan dan pemulihan tetap menjadi keutamaan.

“Kita mahu mereka yang baru terjebak kembali ke pangkal jalan melalui rawatan, manakala yang berdegil akan ditahan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI