PEMAIN warisan, Facundo Garces tampil memperjelaskan kekeliruan berhubung susur galur dan hubung kait keturunannya Malaysia hingga membolehkannya menyarung jersi Harimau Malaya.
Kenyataan kali ini pastinya menjernihkan semula keadaan sekali gus penyertaan Garces bersama skuad kebangsaan Malaysia selari dengan keperluan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Ia hanya kesilapan transkripsi, saya rakyat Malaysia menerusi (susur galur) datuk dan nenek saya. Saya berbesar hati bermain untuk negara saya, jumpa anda nanti,” katanya menerusi IG Story.
Menerusi satu temubuat bersama portal Sepanyol, El Correo, Garces mengakui tidak pernah mengimpikan untuk beraksi bersama Malaysia menerusi moyangnya, namun kenyataan itu menimbulkan pertikaian di kalangan peminat bola sepak negara jiran, Indonesia.
Persoalan yang dibangkitkan oleh warga Indonesia juga boleh dianggap sah kerana jika merujuk kepada Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan.
Antara syarat tersebut adalah pemain itu lahir di negara tersebut, ibu dan ayah pemain lahir di negara tersebut, datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut atau tetapi bukan menerusi jaluran moyang.
Satu lagi syarat yang dibenarkan adalah jika pemain itu sudah menetap di negara tersebut melebihi lima tahun, namun mereka dianggap sebagai pemain naturalisasi dan bukannya warisan. – KOSMO! ONLINE