KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal mempertimbangkan untuk melakukan perolehan jet baharu generasi kelima (5G) sama ada dari Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan Russia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertimbangan itu adalah sebahagian usaha untuk menggantikan semua pesawat baharu menjelang 2040.
Perolehan tersebut katanya, boleh difikirkan sekiranya penghantaran pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF), mengambil masa terlalu lama.
“Kita sudah boleh menimbang untuk memikirkan perolehan jet baharu generasi kelima sama ada dari Perancis, AS, Russia di mana keputusan penilaian akan ambil masa panjang.
“Mereka boleh kemukakan keputusannya mungkin hanya pada 2033 atau 2034 kerana jangkaan kita hendak menggantikan semua pesawat dengan pesawat baharu menjelang 2040,” katanya ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (BEBAS-Tanjong Karang) meminta kerajaan menyatakan status semasa pembelian pesawat terpakai F/A-18 dari Kuwait dan jangkaan jet itu tiba di Malaysia. -KOSMO! ONLINE.