fbpx
Seramai 36 PATI warga Myanmar yang ditahan semasa menaiki sebuah bas persiaran di sekat pintas Serongga, Rantau Panjang hari ini. FOTO IHSAN PGA

Bas bawa 36 PATI dari Klang ke Rantau Panjang ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Hasrat seramai 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk dua wanita untuk mencari pekerjaan di sebuah kilang beras di daerah ini tidak kesampaian apabila bas dinaiki mereka dari Klang, Selangor ditahan di sekat pintas Serongga di sini hari ini.

Kesemua PATI berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an itu diberkas kira-kira pukul 6.30 pagi semasa menaiki sebuah bas persiaran tersebut.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, anggota PGA menahan bas tersebut yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, 34 lelaki dan 2 wanita warga Myanmar berada di dalam bas itu.

“Empat daripada mereka memiliki pasport, namun tiada cop sah untuk memasuki negara ini manakala seorang lagi mempunyai pasport yang telah tamat tempoh.

“Seramai 31 lagi PATI didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, siasatan lanjut mendapati, kesemua PATI diambil dari sebuah kilang di Meru, Klang sebelum dibawa untuk bekerja di kilang beras di daerah ini.

Menurutnya, bagaimanapun, kilang beras tersebut sebenarnya didapati tidak wujud.

“Perkhidmatan bas itu telah dibayar oleh majikan sebanyak RM2,300 melalui transaksi tanpa tunai.

“Kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Nik Ros Azhan memberitahu, pemandu bas ditahan mengikut Seksyen 26(J) Anti pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 manakala kesemua PATI disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN