KETIKA di usia remaja, pelakon dan usahawan ini tidak terlalu terpengaruh dengan trend bermain permainan video, sebaliknya dia lebih tertarik kepada gajet-gajet telefon.
Berawal dengan memiliki telefon Sony Ericsson, dia mengakui sentiasa mengikuti dan memiliki telefon jenama baharu apabila ia diperkenalkan.
Menurut selebriti Zoey Rahman, dia kini selesa menggunakan peranti Iphone dan Ipad Mini untuk kegunaan harian dan tidak terlalu mengejar trend gajet seperti sebelum ini.
“Hubungan saya dengan gajet telah melalui perubahan besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan dahulu saya boleh dikatakan sebagai peminat tegar peranti terkini tetapi sekarang lebih selektif dan berfokus pada gaya hidup sihat serta pembangunan diri.
“Selain telefon, saya juga ada membeli gajet seperti kamera digital, kamera 360 darjah dan dron, namun penggunaannya hanya bertahan sebulan dua, kemudian disimpan sebagai khazanah,” katanya ketika ditemui K-Tekno pada majlis pengenalan duta jenama pakaian Amber di Hotel Shang-ri La, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambahnya yang juga dikenali sebagai pengacara program kanak-kanak Gerak Geri Gasing, sifat ‘pantang’ melihat gajet menarik tidak wajar dicontohi dan dia juga sedang mengurangkan pembaziran serta menghargai apa yang ada.
Kini, fokus Zoey bukan lagi memburu gajet semata-mata. Dia lebih mengutamakan aktiviti yang memberi manfaat untuk kesihatan fizikal dan mental seperti melancong, berenang, aktiviti kecergasan di gimnasium dan melabur dalam barangan sukan.
Tidak menolak usia yang semakin meningkat, Zoey turut mengatakan bahawa dia mempunyai masalah telinga yang menjejaskan pendengarannya.
Untuk mengatasi masalah itu, dia membeli sebuah alat bantuan pendengaran berteknologi tinggi menyerupai fon kepala bernilai hampir RM20,000.
Bagi Zoey, media sosial kekal sebagai medium penting bukan sahaja untuk berinteraksi dengan peminat tetapi juga sebagai platform perniagaan.
“Sebagai selebriti dan usahawan, kita tak boleh lari daripada media sosial. Kita kena ikut trend supaya relevan. Kalau tidak, kita akan ketinggalan.
“Dalam era digital, kemas kini perisian dan pengetahuan teknologi adalah keperluan. Kalau dahulu orang baca majalah, sekarang semuanya di portal. Kita kena ke depan, kena cepat adaptasi supaya lebih dekat dengan peminat,” ujarnya.
Katanya lagi, sebagai selebriti dan usahawan, dia perlu mengikut trend dan perkembangan terkini di media sosial bukan sekadar untuk kekal relevan tetapi juga untuk memasarkan produk.
Kongsinya, zaman gajet sekarang juga bukan sekadar mengikut trend tetapi perlu pandai digunakan untuk bangunkan kerjaya dan kekal dikenali.
Selebriti juga perlu cepat beradaptasi dengan perkembangan teknologi supaya tidak ketinggalan dan akhirnya hilang dari radar peminat.
Transformasi Zoey daripada pemburu gajet kepada individu yang lebih berhati-hati dalam perbelanjaan menjadi inspirasi kepada ramai orang serta membuktikan bahawa kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan kesedaran diri dan pengurusan gaya hidup yang bijak.














