KUALA LUMPUR – Angkara terperdaya dengan dua taktik penipuan berbeza, seorang lelaki berusia 55 tahun dari ibu negara mendakwa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM451,500.
Mangsa, Liau yang tidak mempunyai pekerjaan berkata, kejadian pertama berlaku pada 10 April lalu selepas dia melayari laman sosial dan terlihat iklan platform pembelajaran pelaburan.
Katanya, dia memasuki pautan iklan berkenaan sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dikendalikan seorang individu menggunakan nama William Lo.
Individu terbabit kemudian menawarkan satu pelaburan saham dan mangsa bersetuju untuk membuat pindahan wang ke platform tersebut.
“Setiap kali platform itu memperoleh IPO, saya dipaksa membeli walaupun sudah tidak mampu. Mereka ugut saya akan dikenakan faedah jika enggan. Saya mula curiga lalu membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.
Menurutnya, ketika itu, jumlah kerugian yang ditanggung mencecah RM390,000.
Katanya, pada 8 Julai lalu, beliau sekali lagi terperdaya selepas melihat iklan seorang peguam bernama Wang Yong yang kononnya dari Hong Kong.
“Saya hubunginya dan serahkan salinan laporan polis berhubung kes penipuan itu. Dia mendakwa sudah menghantar laporan itu kepada Pusat Penyelarasan Anti-Penipuan (ADCC). Tidak lama kemudian dia beritahu wang saya RM390,000 telah dipindahkan ke sebuah kasino di Macau,” katanya.
Mangsa kemudian diperkenalkan kepada seorang lagi individu bernama Allen yang mengaku sebagai wakil ADCC. Pada 12 Julai 2025, Allen mendakwa satu-satunya cara mendapatkan semula wang itu adalah dengan memenanginya kembali di kasino melalui satu platform.
“Apabila saya tanya, Allen kata akaun dibekukan kerana penyalahgunaan dan minta pula AS$10,000 (RM47,000) untuk aktifkan semula. Ketika itu saya sudah kerugian tambahan sebanyak RM61,500,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia, Datuk Seri Michael Chong menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati sebelum membuat sebarang pelaburan, khususnya yang melibatkan pihak luar negara.
Beliau berkata, orang ramai tidak boleh mudah percaya dengan tawaran pelaburan atau pihak yang mengaku sebagai peguam, pegawai penguat kuasa atau agensi tertentu kerana identiti mereka mungkin telah disalahgunakan oleh sindiket penipuan.
“Jika ada pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa atau alasan yang tidak logik seperti perlu berjudi untuk mendapatkan semula wang, itu jelas satu penipuan. Jangan sesekali terperdaya kerana akhirnya mangsa akan mengalami kerugian besar,” katanya. – KOSMO! ONLINE















