BESUT – Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di daerah ini maut disyaki akibat terkena jangkitan kencing tikus atau leptospirosis malam tadi.
Muhamad Amirul Hakim Suhaimi, 15, menghembuskan nafas terakhir sewaktu mendapatkan rawatan di Hospital Besut.
Ibunya Mek Jarah Ahmad, 52, mendakwa baru mengetahui anaknya pernah mandi di sebuah sungai di Hulu Besut di sini melalui rakan-rakannya yang menziarahi jenazah arwah.
“Arwah anak saya (Muhamad Amirul Hakim) mula demam sejak Rabu minggu lalu. Mulanya ingat demam biasa tetapi ia bertambah teruk semalam membuatkan saya dan suami membawanya ke Unit Kecemasan Hospital Besut selepas maghrib,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Duek, Hulu Besut di sini hari ini.
Mek Jarah mendakwa sebelum itu, Muhamad Amirul Hakim pernah dibawa ke klinik swasta berhampiran setelah mengadu muntah bercampur darah.
Katanya, sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Besut, keadaan anaknya dilihat teruk sebelum disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong ketika dihubungi berkata, punca sebenar kematian remaja tersebut masih disiasat. – KOSMO! ONLINE














